>Kelebihan dan Kekurangan Perniagaan MLM

>Multilevel Marketing ataupun MLM. Sesuatu yang tidak asing lagi buat kita semua.

Semua orang tahu. Ramai jutawan sudah lahir dari perniagaan MLM ini. Tidak kira di Malaysia, mahupun di luar negara. Mengikut kajian, 90% jutawan yang lahir di negara US, datangnya dari perniagaan MLM. Boleh dikatakan semua rakyat mereka terlibat dengan perniagaan MLM ini.

Berbeza dengan Malaysia, walaupun ramai yang terlibat dengan perniagaan ini,dan ramai jutawan yang telah lahir dari perniagaan ini, MLM sebenarnya masih mendapat persepsi kurang baik. Orang yang terlibat dengan MLM, dipandang serong, dibenci, mengganggu ketenteraman dan sebagainya. Pelbagai komen sinis dilemparkan kepada mereka. Namun, itu semua tidak pernah mematahkan semangat mereka. Ibarat mendaki Gunung Everest yang penuh liku dan halangan. Dengan pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran, idea, malah wang ringgit, akhirnya mereka berjaya juga ‘menawan’ gunung tertinggi di dunia itu. Itulah ibaratnya.

Yang berjaya pasti gembira. Yang gagal? Saya tidak suka mengatakan mereka gagal. Sebenarnya mereka bukan gagal, sekiranya segala jalan telah diambil dan diikuti, tapi masih belum berjaya juga, anggaplah tiada rezeki. Ada yang baru pertama kali menceburi MLM, terus berjaya. Ada yang dah berpuluh-puluh syarikat MLM mereka ceburi, akhirnya baru berjaya. Dan ada yang dah berpuluh-puluh syarikat MLM, tapi masih belum berjaya. Itu semua adalah rezeki masing-masing. Pendek kata, selagi ada kemahuan, di situ ada jalan.

Perniagaan MLM ini sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Antaranya, terdapat pelbagai bonus dan insentif yang disediakan oleh syarikat sekiranya kita mencapai target jualan bulanan, mingguan ataupun hariannya. Berbeza dengan perniagaan ‘single level’, bonus yang disediakan oleh syarikat adalah terhad. Selain itu, MLM juga menggalakkan kerjasama dan semangat berpasukan untuk mencapai kejayaan. Untuk berjaya dalam perniagaan MLM ini, ‘upline’ mestilah terlebih dahulu memastikan orang-orang di bawah pimpinannya, ‘downline’ berjaya. Terdapat pelbagai lagi kelebihan, dan sudut positif yang ada dalam perniagaan MLM ini. Para pembaca boleh google sendiri, kelebihan perniagaan MLM ini.

Dalam posting kali ini, saya hendak fokuskan di sini, kelemahan ataupun kekurangan yang ada dalam perniagaan MLM ini. Bukan hendak menjatuhkan perniagaan MLM, cuma sekadar renungan untuk diperbaiki oleh kita semua. Untuk pengetahuan semua, saya sendiri pernah terlibat dengan MLM ini. Semua syarikat MLM yang saya ceburi, boleh dikatakan antara paling top pada zamannya. MLM paling meletuplah katakan. Bukan satu syarikat, tapi 3 syarikat. Syarikat pertama yang saya ceburi, terlibat dengan produk penjagaan kesihatan, syarikat kedua terlibat dengan industri makanan, dan syarikat ketiga terlibat dengan produk penjagaan kesihatan juga. Semua hebat-hebat, dan modal saya kalau dihitung-hitung adalah dekat RM 10 ribu habis untuk perniagaan ini.

Saya mula terlibat dengan perniagaan ini semasa menuntut di universiti lagi. Maklumlah, saya sendiri mengambil jurusan pentadbiran perniagaan. Malulah kalau tak buat bisnes ‘simple’ ni. Boleh dikatakan, sejak terlibat dengan perniagaan MLM ini, saya tidak menghadapi masalah untuk memahami selok belok produk, marketing plan. Malah saya boleh buat presentation sendiri dengan baik, sebagaimana upline saya buat. Boleh buat demo lebih kurang. Nak jumpa orang, kira takde masalah lah. Sales kit semua lengkap dengan laptop, majalah, keratan akhbar, alat penguji tekanan darah dan kencing manis. Semua saya bawa masa berjumpa client. Tapi kenapa, saya tak juga berjaya hari ini? Itulah persoalan yang selalu bermain di fikiran saya. Dan saya pasti, ramai pembaca semua juga terfikir, kenapa orang yang berjaya dalam MLM ini mampu mencapai kejayaan mereka, tapi tak AKU? Mengapa? Itulah soalan yang sukar dijawab. Banyak sebab sebenarnya. Tapi di sini, saya hendak kongsikan beberapa FAKTOR untuk kita rungkai bersama.

FAKTOR 1:Promosi kurang dari syarikat MLM sendiri

Banyak syarikat MLM di Malaysia ini yang tidak kita ketahui kewujudan mereka. Tau-tau je dah meletup, baru kita dengar pasal syarikat ni. Yang meletup, meletuplah. Yang tak meletup-letup pun ada. Tau-tau senyap je. Sebab tu orang ingat syarikat MLM ni bermusim. Ada pasang surutnya. Sekejap heboh, lepas tu senyap sendiri. Orang-orang yang terlibat, bergadai harta benda, modal lesap, hutang pulak keliling pinggang. Kawan hilang, sedara hilang. Tinggallah mereka terkontang-kanting meneruskan hidup dengan hutang-hutang. Niat di hati, dengan menceburkan diri dalam perniagaan MLM ne, dapat menyelesaikan hutang-hutang mereka. Tapi lain pulak jadinya.

Berbalik kepada faktor promosi ni. Maksud saya, syarikat MLM hanya mengharapkan kepada pengedar-pengedarnya sendiri yang buat promosi. Bayangkan, nak mula bisnes ni pun mereka dah kena keluar modal. Wang pendaftaran, produk, bisnes kit, dan sebagainya. Sesetengah syarikat pulak, sampai borang pendaftaran pun kena beli. Punyalah kedekut. Seboleh mungkin, semua duit pengedar dia nak ambil. Lepas tu, pengedar tu terkontang-kanting buat bisnes. Nak promosi pakai brochure, kena cetak sendiri. Nak iklan dalam surat khabar, kena bayar sendiri. Nak promosi kat internet, pun kos sendiri. Sebab tulah, duit bonus dapat bulan-bulan pun tak cukup. Nak cover balik duit-duit tersebut.

Ini sangat berbeza dengan perniagaan ‘single level marketing’. Walaupun bonus tak banyak dan terhad, tapi dari segi promosi mereka tak perlu risau. Pasal syarikat sendiri dah keluarkan bajet untuk buat promosi di televisyen, radio, surat khabar, brochure dan sebagainya. Tengok sendiri macam iklan ‘ONE DROP PERFUME’ dan ‘HERBA PRIMA DR. ROZMEY’. Sebut saja, orang dah tau. Begitu besarnya pengaruh promosi dalam surat khabar yang mereka buat. Hari-hari, selama berbulan-bulan.

Ini bukanlah bermakna, saya mintak syarikat-syarikat MLM ni, berlumba-lumba buat iklan kat suratkhabar. Pasal saya tau, ada AKTA yang melarang syarikat-syarikat MLM ni buat iklan kat media masa. Tapi, yang peliknya, ada syarikat MLM yang buat iklan tu. Siap masuk televisyen, radio, suratkhabar. Tengok ‘HAI-O Marketing’ dan ‘CNI’ suatu ketika dulu. Mengapa mereka boleh buat iklan sebegitu rupa? Tapi tidak syarikat-syarikat MLM yang lain. Itulah persoalannya.

Sekalipun mereka tak dapat nak keluar sendiri promosi tersebut, sekurang-kurangnya bantulah pengedar mereka buat iklan dan promosi. Mudahkan kerja mereka. Sekurang-kurangnya, bila mereka berjumpa client di luar sana, pelanggan dah sedia tahu tentang syarikat ataupun produk tersebut. Mereka pernah terbaca, terdengar, ataupun terpandang benda tu. Maka mudahlah kerja-kerja jualan seterusnya.

FAKTOR 2:Database client sangat terhad dan kurang

Kebanyakan pengedar-pengedar baru sangat berharap kepada database yang terhad pada telefon mereka. Yang mana kebanyakannya adalah terdiri dari saudara mara dan sahabat handai. Pasal tu, ramai yang hilang sedara dan kawan-kawan bila buat bisnes MLM ni. Sebab merekalah ‘mangsa’ pertama yang akan mendengar presentation produk kita. Jangan marah ye. Saya gunakan istilah mangsa sebab, dah ramai yang terkena. Daftar masuk, dah close, duit semua dah keluar, bergolok bergadai. Lepas tu, upline lesap entah ke mana. Telefon pun tak dapat. Terkontang-kantinglah mangsa tersebut. Last sekali, produk semua masuk bawah katil. Simpan dalam peti. Simpan dalam almari. Tu lah nasibnya.

Akibat dari itu, ramai yang serik untuk buat bisnes MLM ni. Pernah saya telefon kawan baik saya untuk berjumpa, bincang pasal bisnes. Lepas tu saya call untuk follow up, terus tak angkat-angkat sampai sekarang. Hilang lah seorang kawan karib. Tu belum cerita hilang sedara. Pasal apa diorang taknak jawab? Pasal mereka pernah terkena sebelum ni. ‘Pintu hati’ mereka dah tertutup untuk MLM ni. Dan paling akhir, syarikat MLM ni mendapat banyak persepsi negatif dari masyarakat. Jangan terkejut kalau orang ludah muka kita, masa kita buat bisnes ni. Cobaan.

Persoalannya, bagaimana nak dapatkan database yang banyak. Biasa kita nak buat ‘cold call’ ke nombor-nombor yang tidak dikenali. Memang susahkan. Dan kadar kejayaannya pun sangat tipis. Kos panggilan lagi, sape nak tanggung. Jadi database tak banyak dan terhad ini menyebabkan ramai pengedar-pengedar tak dapat bertahan dalam syarikat MLM ni. Kesian kan.

FAKTOR 3:Kos-kos sampingan yang tidak tertanggung

Ramai yang tidak pernah terfikir tentang kos-kos sampingan bila kita buat perniagaan MLM ni. Kita ingat dah keluar modal beribu ringgit untuk masuk bisnes ni, lepas tu tak perlu dah modal lain. Kita silap sebenarnya. Banyak lagi modal perlu kita keluarkan, misalnya kos minyak, kos makan, kos telefon, kos tol, dan sebagainya. Kadang-kadang, sales kit pun kena beli jugak. Modal lagi. Last sekali apa yang tinggal.

Pernah kawan saya, aktif dalam MLM ni. Sampai ke utara, selatan. Tiap-tiap minggu travel. Bonus memang banyak. Tapi bila kira-kira balik, bonus yang dapat hanya cukup-cukup untuk cover modal dia. Ramai yang tak dapat meneruskan perniagaan mereka dalam MLM disebabkan tidak dapat menanggung kos-kos sampingan yang terlalu banyak ini.

FAKTOR 4:Penipuan syarikat MLM

Kebanyakan syarikat MLM yang menipu ini terdiri daripada syarikat-syarikat baru yang hendak berkembang. Pada awalnya, mereka menjanjikan bonus yang banyak kepada pengedar. Sehingga suatu tahap, apabila mereka merasakan bonus-bonus tersebut merugikan mereka, mereka akan menukar sistem sedia ada. Menyebabkan pengedar-pengedar mengalami kerugian yang bukan sedikit.

Rakan baik saya, pernah bercerita tentang ibu saudaranya yang telah berjaya dengan cemerlang dalam satu perniagaan MLM di utara tanah air. Setiap bulan, beliau mendapat bonus ratusan ribu ringgit. Pernah menjadi stokis yang besar, sehingga anak-anak beliau sendiri tak digalakkan ke sekolah kerana dapat membantu beliau dalam bisnes ni. Memang pada waktu tu, duit memang takde masalah. Buat apa nak ke sekolah, kalau duit mak ayah dah makan tak habis. Bila duit dah banyak, mestilah nak beli rumah baru, kereta baru, semua baru dan mewah. Tapi semua tu, hutang. Sape nak beli cash. Betul tak. Sehinggalah suatu tahap, syarikat MLM tersebut menukar sistem bonus, menyebabkan ibu saudaranya itu terpaksa bermula semula dari kosong. Bayangkan dari atas, beliau jatuh tersungkur, terduduk terus. Nak bangun balik lepas tu, tuhan saja yang tahu.

Sebab tulah kita mesti beringat bila buat bisnes MLM ni. Risiko untuk syarikat MLM tersebut menipu, memang ada. Walaupun pelbagai janji yang mereka berikan. Rumah, kereta dan sebagainya lagi, semua beli hutang. Bila bonus dah takde, nak bayar pakai apa. Terpaksalah jual balik, gadai, dan sebagainya untuk cover hutang. Hilang saudara, hilang kawan, hilang segala-galanya sekelip mata.

FAKTOR 5:Maintenance setiap bulan

Untuk mendapat bonus yang dijanjikan, hampir semua syarikat MLM mewajibkan maintenance setiap bulan kepada pengedarnya. Ada yang serendah RM 100, ada yang sampai RM 300, dan ada yang sampai beribu ringgit. Produk tersebut, bukannya nak guna, sebaliknya simpan bawah katil. Kalau boleh jual, tak jadi masalah. Yang jadi masalahnya, duit keluar dan masuk cukup-cukup makan saja. Lepas tu produk melambak-lambak. Yang tak bestnya, untuk buat clearance, mereka jual produk tersebut bawah harga pasaran. Sebab tu, tak heran lah kalau kita pergi kedai-kedai jamu, tengok produk yang dijual lebih murah dari harga yang dijual oleh pengedar. So macam mana pengedar nak survive dalam perniagaan MLM ni. Last sekali semua tak tahan, stop buat bisnes ni.

So bagaimana dengan pendapat anda, tulisan saya ni. Setuju? Ada bangkangan, cadangan ataupun sebagainya. Saya akan cadangkan beberapa perkara untuk mereka yang terlibat dengan perniagaan MLM ini. Mungkin untuk mengatasi 5 masalah yang disebutkan di atas.

Posted on 19 September 2010, in Pelbagai. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: